Seminar Akhir Zaman : Kemunculan Yakjuj Makjuj
GAMBANG, 11 Februari 2026 – Seminar Akhir Zaman: Kemunculan Yakjuj dan Makjuj berjaya menghimpunkan seramai 151 peserta dalam satu program ilmiah yang berlangsung di Dewan Tun Fatimah, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang, hari ini.
Seminar berkenaan menampilkan penceramah jemputan, Dr Asyraff Amirul, yang menyampaikan kupasan terperinci mengenai salah satu tanda besar kiamat iaitu kemunculan Yakjuj dan Makjuj berdasarkan dalil al-Quran serta hadis sahih. Penyampaian yang jelas dan berfakta berjaya menarik perhatian peserta serta memberi kefahaman lebih mendalam berkaitan peristiwa akhir zaman.
Program tersebut mendapat penyertaan daripada warga UMPSA serta pelbagai agensi luar, antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan, Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), kolej matrikulasi dan beberapa agensi lain. Kehadiran yang memberangsangkan itu mencerminkan kesedaran serta minat masyarakat terhadap pengukuhan ilmu akidah dan persediaan rohani.
Sepanjang seminar berlangsung, peserta turut berpeluang mengemukakan soalan dalam sesi soal jawab yang diadakan pada penghujung program. Sesi tersebut membuka ruang perbincangan yang lebih interaktif dan memberi penjelasan lanjut terhadap persoalan berkaitan isu akhir zaman.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan UMPSA, Dr Ahmad Irfan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan memperkukuh kefahaman agama dan meningkatkan kesiapsiagaan rohani dalam menghadapi cabaran masa kini dan akan datang.
Secara keseluruhannya, penganjuran seminar ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan, sekali gus memperkukuh peranan institusi dalam menyebarkan ilmu serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu berkaitan akhir zaman.
#PIMPINPesan
#BiahSolehah