58 Pelajar Sertai Daurah Hafazan Ulul Albab Semester 1 Sesi 25/26
Melaka, 15 Februari - Seramai 58 pelajar Program Pensijilan Ulul Albab Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah telah mengikuti Program Daurah Hafazan Ulul Albab Bil. 1/26 pada 13–15 Februari 2026 di Rekta Habitat, Pulau Gadong, Melaka.
Menurut Pengarah Program, Mohamad Hasnur bin Abdul Hamid, program ini bertujuan melaksanakan ujian akhir hafazan Semester 1 sesi 2025/2026 serta mengukuhkan murajaah pelajar.
Sebanyak dua kategori ujian dijalankan iaitu bacaan penuh 1 juz dan penilaian prestasi hafazan semasa. Seramai 26 pelajar berjaya lulus bacaan penuh 1 juz.
Pelajar yang terlibat terdiri daripada pelbagai fakulti seperti kejuruteraan, komputer, kimia dan sains teknologi. Program ini turut menjadi persediaan kepada pelajar untuk ujian pengiktirafan kolaborasi UMPSA serta pertandingan hafazan antara IPT.
Selain meningkatkan penguasaan al-Quran, program Ulul Albab memberi nilai tambah kepada kebolehpasaran graduan melalui keseimbangan antara profesionalisme dan penguasaan hafazan.