OFFICIAL PORTAL    

News

8 Pelajar Ulul Albab Cemerlang Hafazan Ditawarkan Biasiswa Ulul Albab Yayasan UMPSA

PEKAN, 20 Mei – Seramai lapan orang pelajar terpilih menerima Biasiswa Ulul Albab bagi sesi pengajian 25/26 susulan sesi temuduga khas yang dijalankan baru-baru ini.

Sesi temuduga tersebut telah berlangsung dengan teratur yang melibatkan seramai lapan calon yang terdiri daripada pelajar program hafazan 20 juzuk dan 30 juzuk. Sesi penilaian bagi menentukan penerima biasiswa ini dikendalikan oleh dua panel iaitu Dr. Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham dan Ustaz Mohamad Hasnur bin Abdul Hamid.

Berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap tahap penguasaan hafazan, akademik, serta sahsiah, pihak panel telah memilih kesemua lapan calon yang terdiri daripada empat calon program 30 juzuk dan empat calon program 20 juzuk untuk menerima bantuan tajaan ini.

Bagi program 20 Juzuk, pelajar yang berjaya terpilih akan menerima tajaan berupa pengecualian yuran pengajian Ulul Albab bagi menyokong kelangsungan program hafazan mereka.

Manakala bagi program 30 Juzuk, pelajar dalam kategori ini menerima manfaat yang lebih komprehensif merangkumi tajaan yuran pengajian sepenuhnya serta elaun sara diri sebagai insentif atas komitmen tinggi dalam usaha untuk memberi komitmen hafazan 30 juzuk al-Quran.

Menurut panel penilai, pemilihan ini dibuat bukan sekadar berdasarkan kemampuan menghafaz, malah mengambil kira kesediaan pelajar untuk menjadi graduan teknikal yang seimbang antara kecemerlangan ilmu duniawi dan ukhrawi.

Inisiatif Biasiswa Ulul Albab ini merupakan bukti komitmen berterusan UMPSA melalui Yayasan UMPSA dalam melahirkan modal insan profesional yang berpegang teguh kepada nilai al-Quran, selari dengan aspirasi universiti untuk membentuk generasi ulul albab yang bakal memimpin negara pada masa hadapan.

#pimpinpesan
#biahsolehah