SOLAT HAJAT & TAHLIL PERDANA HIMPUNKAN WARGA UMPSA KOLEJ KEDIAMAN 5 DI MASJID AL-JAZARI
PEKAN, 18 Jun 2026 – Program Solat Hajat & Tahlil Perdana Kolej Kediaman 5 (KK5) telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Al-Jazari, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Pekan
pada Khamis, hasil kerjasama Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 5 (Peka5) bersama Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN).
Program yang berlangsung bermula 6.30 petang hingga 9.30 malam itu menampilkan penceramah jemputan, PU Lokman, yang menyampaikan tazkirah bagi menyuntik semangat kerohanian serta memperkukuh hubungan mahasiswa dengan Allah SWT.
Selain menunaikan Solat Hajat dan bacaan tahlil secara berjemaah diketuai oleh YBhg Al-Fadhil Ustaz Muhammad Farid Bin Mohd Idris, program ini turut menjadi platform untuk memupuk ukhwah dalam kalangan warga kolej kediaman serta membudayakan amalan keagamaan di kampus.
Bagi menghargai kehadiran peserta, pihak penganjur turut menyediakan mata ADAB, perkhidmatan bas dan makan malam kepada 140 peserta yang mendaftar. Program ini diharapkan dapat menjadi medium memperkukuh sahsiah, meningkatkan penghayatan nilai-nilai Islam serta menyemarakkan budaya ilmu dan kerohanian dalam kalangan mahasiswa UMPSA.