OFFICIAL PORTAL    

News

Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour 2026

PEKAN, 11 Mac 2026 – Seramai 190 orang staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, UMPSA telah menyertai Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour yang berlangsung di Masjid Al-Jazari, UMPSA Pekan. 

Program ini merupakan program tahunan yang akan dianjurkan oleh Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), UMPSA. PIMPIN mengambil inisiatif untuk menganjurkan Majlis Khatam al-Quran ini bersekali dengan program World #QuranHour 2026 yang berlangsung serentak di sebanyak 696 lokasi berdaftar di seluruh Malaysia serta 13 lokasi berdaftar di luar negara. 

Majlis dimulakan dengan bacaan khatam al-Quran yang diketuai oleh Ustaz Md Abdu bin Sahak, diikuti dengan dengan bacaan tilawah al-Quran oleh Qari jemputan iaitu al-Fadhil Ustaz Mohd Fadzli bin Ishak dan diteruskan dengan sesi tadabbur surah Al-Muzammil yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Awis Qarni bin Abdul Wahab. Program World #QuranHour ini membawakan Surah al-Muzammil sebagai surah tema, dengan misi ‘Membentuk manusia sebelum membina manusia’.

Program ini turut dirasmikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang sekali gus menyokong usaha memperkukuh budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran dalam kalangan warga universiti.

Marilah kita bersama-sama membina kekuatan dan memperkukuhkan hati, jiwa dan roh melalui al-Quran dengan menghidupkan amalan membaca dan menghayatinya khususnya pada malam 10 terakhir ini serta mempersiapkan jiwa kita agar dapat membina negara dan tamadun yang memberi manfaat kepada umat.