OFFICIAL PORTAL    

News

PROGRAM KORBAN/AKIKAH PERINGKAT UMPSA 1447H/2026M BERLANGSUNG MERIAH DI MASJID AL-JAZARI

Pekan, 29 Mei 2026 – Program Korban/Akikah Peringkat Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi tahun 1447H/2026M telah berjaya dilaksanakan dengan lancar hari ini bertempat di Masjid Al-Jazari UMPSA Pekan bermula jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang.


Program ini melibatkan pelaksanaan ibadah korban dan akikah dengan jumlah keseluruhan sebanyak 7 ekor lembu korban peserta, 3 ekor lembu sumbangan korporat, serta 4 ekor kambing korban dan 4 ekor kambing akikah.


Sumbangan lembu korban korporat adalah daripada Maybank dan RHB Bank, yang turut sama menyokong pelaksanaan ibadah ini sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti universiti.


Menurut Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan ( PIMPIN), Dr. Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham berkata, hasil sembelihan bagi 7 ekor lembu sumbangan peserta telah menghasilkan kira-kira 691 kilogram daging yang telah diagihkan kepada golongan fakir, miskin serta komuniti yang memerlukan, melibatkan lebih kurang 350 bungkusan agihan. “Bagi lembu sumbangan korporat pula, anggaran hasil adalah sekitar 400 kilogram daging, yang telah memberi manfaat kepada kira-kira 150 orang penerima,” katanya. 


Pada masa yang sama, program tahun ini turut mencatat sejarah tersendiri dengan penggunaan rumah sembelihan baharu yang baru sahaja siap dibina dan beroperasi buat pertama kalinya pada hari ini. Kemudahan ini dilihat dapat meningkatkan kecekapan, kebersihan serta kelancaran proses penyembelihan dan agihan. Selain itu, pihak masjid turut menyediakan jamuan makan tengah hari untuk kira-kira 300 jemaah Solat Jumaat yang dimasak menggunakan hasil sumbangan daripada program akikah, sekali gus menceriakan suasana hari Jumaat dan mengimarahkan masjid dengan semangat kebersamaan.


Naib Canselor UMPSA, Prof Ts Dr Yatimah Alias mengucapkan tahniah khususnya pihak PIMPIN dan terima kasih buat petugas dan sukarelawan dalam memastikan program berjalan lancar. Ujarnya, pihak universiti  merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, penaja, sukarelawan serta pihak pengurusan masjid yang telah menjayakan program ini dengan penuh komitmen dan semangat kebersamaan.
Malahan, program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif pelaksanaan ibadah korban dan akikah, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara warga UMPSA, penyumbang serta sukarelawan yang terlibat.