OFFICIAL PORTAL    

News

38 Mahasiswa UMPSA Sertai Program Satu Hari Bersama Pewaris Korban

Gambang, 14 Jun 2026 – Seramai 38 orang pelajar mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

telah menyertai Program Satu Hari Bersama Pewaris Korban: Kursus Sembelihan Halal yang berlangsung di Masjid UMPSA Kampus Gambang, baru-baru ini.


Program yang berlangsung bermula 8.00 pagi hingga 3.30 petang ini merupakan anjuran bersama Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMPSA, serta Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 4, dengan objektif memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah penyembelihan halal yang menepati syariat Islam melalui gabungan pembelajaran teori dan latihan praktikal.


Sepanjang kursus, peserta telah didedahkan dengan pelbagai aspek penting berkaitan hukum-hakam penyembelihan, syarat-syarat sah sembelihan, pengendalian haiwan sebelum dan selepas sembelihan serta amali penyembelihan yang dipantau secara langsung oleh tenaga pengajar berpengalaman.


Kursus ini dikendalikan oleh YBhg Ustaz Muhammad Taufiq Ghufran bin Bakri, Pembantu Hal Ehwal Islam ,Pejabat Agama Islam (Daerah Kuantan), manakala sesi bimbingan dan pengendalian turut dibantu oleh YBhg Dr. Tuan Sidek Tuan Muda, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pascasiswazah) Pusat Sains Kemanusiaan , yang berkongsi pengalaman serta panduan berkaitan aspek teknikal dan kepentingan penyembelihan halal dalam kehidupan masyarakat Islam.


Selain memperkukuhkan kefahaman terhadap tuntutan syariat, program ini turut memberi peluang kepada peserta menguasai kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan ketika ibadah korban, akikah dan urusan penyembelihan halal pada masa hadapan. Kemudahan makan dan minum turut disediakan sepanjang program bagi memastikan keselesaan para peserta.