Manifesto Tahun Baharu
“Aku berazam mulai tahun hadapan untuk berpuasa setiap hari isnin dan khamis.” Begitulah manifesto Awang saban tahun. Namun setiap kali kalendar menjengah ke bulan disember, Awang akan berbisik ke dalam hati bahawa tahun hadapan masih ada peluang lagi!
Sudah menjadi budaya kebanyakan orang untuk menanam azam apabila memasuki tahun baharu. Namun jika ia tidak disertakan dengan pelan, strategi dan tindakan, azam kekal menjadi janji kosong.
Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah : 183)
Berdasarkan ayat ini, Allah memerintahkan hamba-Nya supaya berpuasa dengan memberikan tauladan umat terdahulu yang turut telah diperintahkan dan pada akhirnya memberikan natijah nilai ketaqwaan.
Bolehlah disimpulkan bahawa Islam mengajar umatnya melaksanakan ibadah atau apa jua pekerjaan dengan diniatkan kerana Allah supaya kita jelas tujuan melakukannya. Mari kita mengambil perumpamaan puasa yang asasnya adalah berpaksi kepada Iman diterjemahkan kepada kepatuhan. Manakala prosesnya adalah ibadah puasa itu dan hasilnya adalah nilai ketaqwaan yang terbit setelah melaksanakan perintah itu.
Mengubah Paradigma
Sebilangan orang akan mengambil sesuatu keputusan pada neraca tersurat. Jika ianya puasa, impak zahirnya hanya pada lapar dan dahaga. Islam mengajar umatnya supaya menanggapi hikmah.
Firman Allah SWT:
Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.
(Surah al-Baqarah : 185)
Manifestasi dari ibadah puasa tersebut menjadi kayu ukur atau kita namakan indikator. Tempoh 1 bulan dijadikan platform yang pada akhirnya membentuk diri kita dari hanya sekadar muslim kepada mukmin yang muttaqin.
Menurut ahli psikologi, seseorang yang konsisten melakukan perkara pada suatu sela masa akan membentuk tabiat pada dirinya yang seterusnya membentuk sikap.
Justeru puasa ramadan adalah medium paling tepat untuk kita mendidik diri yang asalnya baran menjadi sabar, bakhil menjadi dermawan, tamak menjadi syukur dan begitulah wawasan mukmin muttaqin seperti dijanjikan Allah.
Jika kita hanya memandang puasa sekadar lapar dan dahaga, maka bagi mereka yang sengsara menahan kelaparan akan tidak sabar untuk bebas dari puasa ramadan. Begitu juga jika nawaitu kita adalah untuk kurus, maka tercapailah hasratnya untuk memiliki tubuh yang ideal.
Bertindak atau Melewati Masa
Jabir bin ‘Abdullah berkata :
“Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menaiki mimbar, ketika baginda menaiki anak tangga yang pertama, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga yang kedua, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga ketiga, baginda menyebut “Amin”. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah. Kami mendengar engkau menyebut Amin sebanyak tiga kali. Baginda menjawab: Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepada ku dan berkata: Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya. Lalu aku pun menyebut Amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang ibu bapanya masih hidup atau salah seorang daripada mereka masih hidup, tetapi hal itu tidak memasukkannya ke dalam syurga. Aku pun menyebut Amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang engkau (Rasulullah SAW) di sebut di sisinya, tetapi dia tidak berselawat ke atas engkau. Aku pun menyebut Amin.”
(Al-Imam Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, hadis no: 640. Shaikh al-Albani berkata ia Sahih Lighairihi dalam Sahih al-Adab al-Mufrad)
Begitu indahnya Islam mendidik umatnya menerusi perintah melaksanakan ibadah puasa yang disertakan pula modul, bertempoh, tatacara dan pantang larang yang merupakan pakej lengkap untuk dipatuhi pelaksananya. Lantas secara tidak langsung melahirkan mukmin yang bertaqwa.
Kerana itu Rasulullah SAW mengaminkan doa kecelakaan yang dibacakan Malaikat Jibril kepada kepada sesiapa yang melewati bulan Ramadan tanpa diampuni dosanya iaitu dengan maksud lain tidak berkesan untuk mendidiknya menjadi seseorang yang lebih baik. Gagal transformasi diri walau sedikit cuma.
Penutup
Begitulah perumpamaan orang beriman, apabila berjanji ia tepati, tatkala diberikan amanah ia bertanggungjawab dan apabila berkata tidak lain melainkan semuanya kebenaran belaka. Azam tidak sempurna jika hanya tercoret di buku nota akan tetapi perlulah disusuli dengan rancangan, konsistensi dan komitmen. Bak kata Jeneral Rama dalam siri animasi Ejen Ali, “Bertindak segera!”.