OFFICIAL PORTAL    

Mengasuh Akal Budi, Bina Generasi

Mengasuh Akal Budi, Bina Generasi

“Common sense”, ini Bahasa Inggeris. Pelajar-pelajar sekarang, Gen Z, dikatakan kurang memiliki “common sense” dalam kehidupan seharian. Berkebetulan hujung minggu ini saya menghantar anak-anak pulang ke asrama dan mendengar celoteh guru warden mengenai akhlak pelajar khasnya di asrama, sempena hari kembali ke sekolah. Dibangkitkan isu sikap pelajar di asrama yang tidak cakna dengan perkara asas kehidupan.

“Sampah, seperti pad tuala wanita dan bungkusannya, dibuang merata, walaupun  tong sampah disediakan.”

“Baju kotor, direndam berbulan-bulan.”

“Baju yang jatuh dari ampaian, dibiarkan.”

“Tandas tersumbat kerana sampah seperti botol air, tuala wanita dan kertas.”

“Meminjam” pakaian rakan yang akhirnya tidak dipulangkan.

“Rasa tidak bersalah apabila kehilangan barang.”

“Rasa tidak bersalah badan berbau, kotor.”

 

Dan senarainya amat panjang.

 

Berkebetulan pula, setelah diamanahkan sebagai Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMPSA, antara tanggungjawab baru saya ialah menjaga anak-anak KAFA UMPSA. Melihat telatah anak-anak ini pada minggu pertama persekolahan, menjentik hati saya untuk memikirkan mengenai asuhan akal budi.

 

Common sense diterjemahkan sebagai akal budi. Dalam Bahasa Arab, ia dikenali sebagai al-Badihah. Dalam konteks pengajian Islam, akal budi boleh difahami seumpama perkara “al-ma’lum minaddin biddorurah” atau perkara asas agama yang secara asasnya diketahui oleh semua dengan mudah. Bagi anak muda, akal budi lebih difahami sebagai “benda basic”.

 

Menurut Kamus Dewan, akal budi bermaksud fikiran yang sihat. Takrifan ini agak ringkas. Bagi saya, akal budi bermaksud kebolehan dan upaya diri untuk melakukan tindakan atau berfikir berteraskan akhlak dan rasional, walaupun tanpa arahan, atas dasar tanggungjawab, pada masa yang singkat.

 

Rata-rata warga pendidik sekarang terdiri daripada golongan Gen X dan Millenial mengkritik Gen Z sebagai kurang akal budi. Antara ratiban yang popular:

 

“benda basic pun tak tau buat ke?”

“sampah ni tak reti nak buang ke?”

“pinggan gelas ni tak reti nak cuci sendiri ke?”

“tandas tak flush ke?”

“assignment asik guna A.I, tak reti buat sendiri ke?”

“dalam kelas asik main handphone!!”

“baru ajar, 5 minit lepas tu dah lupa!!”

“dah bagi rubrik dan sampel esei, tak reti tulis lagi ke?”

 

Kritikan itu berasas, tetapi hakikatnya sebahagian kesalahan perlu ditanggung oleh pihak yang mengasuh dan mendidik mereka, sama ada di rumah atau di sekolah. Elakkan terperangkap dengan nostalgia generasi lama lebih murni akhlak budinya, tetapi ambillah tanggungjawab betapa akal budi ini perlu diasuh.

 

Gen X dibina oleh generasi ‘Baby Boomers’ yang mengasuh dengan pendidikan akal budi yang cemerlang, walaupun ada anasir yang menakut-nakutkan.

 

“Makan nasi sampai licin, kalau tak nanti nasi tu menangis.”

“Nampak sampah kat lantai, kutip.”

“Tong sampah dalam rumah penuh, buang ke tong sampah luar rumah.”

“Abah balik, buka gate, hidang air.”

“Apahal makan sorang-sorang, makan ramai-ramai, baru tahu adab.”

“Bakul penuh, tolong basuh baju. Lepas tu terus sidai dan lipat.”

“Hujung minggu kena sapu rumah, cantas pokok.”

 

Natijahnya, lahirlah generasi yang mempunyai akal budi yang tinggi. Pendidikan yang diberikan bersifat “direct learning” dan “active learning”. Sebelum membongkar teori pembelajaran ini, mari kita renung kisah Imam Shafi’i.

 

Dalam kitab manaqib (biografi) Imam Shafi’i yang ditulis oleh anak murid beliau, diriwayatkan bahawa Imam Shafi’i semasa kecil, amat minat terlibat dengan beberapa aktiviti pembelajaran, antaranya memanah dan mempelajari ilmu tanjim (perbintangan).

 

Memanah mengajar erti fokus. Memanah mengajar erti upaya mengabaikan gangguan seperti bunyi bising, silau cahaya, pergerakan dan seumpamanya, bagi melepaskan anak panah dari busur supaya tepat di sasaran.

 

Imam Shafi’i dipuji dengan ketepatan memanahnya. Natijahnya, lahirlah seorang tokoh yang fokus ketika belajar dan mengajar. Tidak melayan gangguan sekitar, sebaliknya bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran.

 

Anak-anak sekarang, atau hakikatnya manusia moden hatta warga emas, terperangkap dengan ketagihan skrin. Media sosial dan video pendek menyebabkan banyak gangguan semasa belajar dan bekerja. Tempoh tumpuan (attention span) semakin berkurangan. Kalau dahulu, tiada masalah mendengar kuliah berjam-jam. Sekarang, tempoh tumpuan merosot. Baru dengar kuliah, fikiran sudah merewang ke tempat lain. Lahirlah fenomena minda bertih.

 

Imam Shafi’i semasa kanak-kanak juga belajar ilmu perbintangan, atau ilmu astrologi. Asas ilmu perbintangan ialah pengetahuan melalui pemerhatian alam dan jasad samawi. Apabila pergerakan jasad samawi mula dikaitkan dengan ramalan, nasib baik atau malang manusia, maka wujudlah ilmu astrologi. Imam Shafi’i belajar ilmu ini, tetapi apabila mencuba ilmu ini dengan ramalan yang betul, maka akhirnya Imam Shafi’i membakar dan menolak ilmu tersebut, kerana upaya beliau tahu bahawa ilmu ini dilarang dalam agama. Akal budi yang diasuh, berfungsi dengan segera.

 

Inilah cabaran kepada dunia pendidikan sekarang, bagaimana kita boleh mengasuh akal budi kepada generasi akan datang. Antara ikhtiar ke arah itu, termasuklah:

 

  1. Anggap anak murid sebagai anak sendiri.
  2. Perlahankan rentak, kurangkan penggunaan gajet dan bahan digital semasa penyampaian ilmu.
  3. Selang seli proses pendidikan dengan gaya tradisional. Baca buku sebenar. Tulis guna pen, pensil dan kertas. Kerapkan penilaian oral, kerana masih belum dapat diganti oleh teknologi AI.
  4. Didik erti susah berdikari. Elakkan terlalu memanjakan anak murid. Arahkan mereka bersihkan kelas. Buang sampah. Tutup suis lampu kipas, dan perkara-perkara asas lain.
  5. Berani menegur kesalahan.
  6. Berani menguatkuasakan undang-undang mengikut saluran yang ada.

 

Sedar atau tidak, antara budaya yang sedang dibentuk sekarang ialah “KURANG TEGURAN”. Kita terlalu memikirkan risiko yang pelbagai. Khuatir dimarahi ibu bapa dan penjaga. Risau jadi tak popular. Kesannya, kurangnya budaya berpesan-pesan melahirkan anak muda yang banyak tidak reti, kurang akal budi.

 

Mudah-mudahan ada kesungguhan untuk kita mengasuh “akal budi” anak muda sekarang, bagi membina generasi yang kuat peribadi mereka.

 

#PIMPINpesan

#BiahSolehah

#MindaPengarahPIMPIN