OFFICIAL PORTAL    

Tarikh Hari Raya Akan Ditentukan Pada 29 Ramadan, Umat Islam Dinasihatkan Bersabar

Tarikh Hari Raya Akan Ditentukan Pada 29 Ramadan, Umat Islam Dinasihatkan Bersabar

Berdasarkan data hilal rasmi yang dikeluarkan JUPEM semasa hari cerapan anak bulan Syawal 1447/2026 pada Khamis 29 Ramadan/19 Mac 2026, kriteria kenampakan anak bulan, yang dikenali sebagai Kriteria Imkanurrukyah, TIDAK DIPENUHI. Menurut Dr Ahmad Irfan, Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah, ini bermaksud kemungkinan besar anak bulan tidak kelihatan, dan 1 Syawal akan jatuh pada hari Sabtu 21 Mac 2026.


Namun demikian, kemungkinan berasaskan hisab ini hanyalah sekadar panduan umum, yang lebih bertujuan untuk membolehkan umat Islam menghasilkan kalender tahunan. Untuk pengesahan, hisab perlu disahkan dengan cerapan atau rukyah al-hilal.


Menurut Dr Irfan, umat Islam dinasihatkan untuk kembali kepada panduan syarak dalam membuat persiapan menentukan tarikh Aidilfitri. Nantikan hasil cerapan rasmi pada 29 Ramadan nanti, dan pengisytiharan yang akan dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu.


Ujar beliau lagi, teori-teori ‘Raya Mengejut’ yang diviralkan, boleh dibincangkan tetapi biarlah berasaskan landasan ilmu falak. Sebagai contoh, sebahagian orang awam menggunakan hasil kiraan hisab al-Marhum Tn Hj Abd Ghani Salleh, yang merupakan tokoh hitungan moden falak yang berasal dari Terengganu.
Sebenarnya, jadual hitungan beliau yang mencadangkan Aidilfitri 1447H jatuh pada hari Jumaat, adalah berdasarkan kaedah lama yang digunakan pada tahun 1992, dikenali sebagai Takwim Hijri Istilahi. Takwim ini dihasilkan sempena Sambutan Maal Hijrah 1413H/1992M. Teknik takwim istilahi agak mudah, iaitu penggiliran jumlah hari antara 29 dan 30 untuk setiap bulan qamari, dalam pusingan 30 tahun, bermula 1 Muharam 0001H (16 Julai 622M). 19 tahun akan memiliki 354 hari, sementara 11 tahun mempunyai 355 hari. Ini berdasarkan penerangan yang dikongsikan oleh Dato’ Sr Dr Azhari Mohamed, Ahli Panel Pakar Falak JAKIM.


Menurut Dato’ Dr Azhari lagi, dalam buku hisab berkenaan, jelas dinyatakan oleh al-Marhum Tn Haji Abd Ghani bahawa tujuan takwim Istilahi ini hanyalah untuk urusan pentadbiran dan perancangan takwim tahunan sahaja, dan tidak digunakan untuk menentukan permulaan puasa dan Aidilfitri pada waktu itu.
Mulai tahun 1994, penentuan awal bulan kalendar Hijriah ditentukan menerusi hisab imkanurrukyah, dengan pengesahan perlu dilakukan menerusi rukyah bagi 3 bulan penting, iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.


Menurut Dr Irfan lagi, teori-teori lain, seperti rujukan terhadap tarikh gerhana bulan, kalendar yang dijana oleh Google dan Apple, takwim Arab Saudi dan lain-lain, adalah tidak relevan dan tidak wajar dijadikan sebagai kedah untuk penentuan awal Raya.


Umat Islam di Malaysia sekali lagi dinasihatkan agar menantikan sahaja keputusan cerapan hilal Syawal yang akan dilaksanakan pada 29 Ramadan/19 Mac Khamis nanti.


#pimpinpesan
#UMPSAMalaysia
#JHEPAUMPSA
#biahsolehah