OFFICIAL PORTAL    

JOM CERAP: Fenomena Gerhana Bulan Penuh 14 Ramadan di UMPSA

JOM CERAP: Fenomena Gerhana Bulan Penuh 14 Ramadan di UMPSA

Umat Islam berpeluang menyaksikan fenomena alam yang menakjubkan pada 3 Mac 2026, bersamaan 14 Ramadan 1447H. Gerhana Bulan Penuh ini bakal menjadi hiasan langit malam yang istimewa buat kita semua yang berada di kampus khasnya di bulan Ramadan.

 
Mengapa Gerhana Kali Ini Istimewa?

Berbeza dengan gerhana yang biasa berlaku pada lewat malam, gerhana kali ini unik kerana ia bermula ketika bulan masih berada di bawah ufuk. Berdasarkan data teknikal, gerhana ini hanya akan mula kelihatan di mata kita sejurus selepas Bulan terbit pada jam 7:16 malam. Pencerap perlu mencari tapak lokasi yang menawarkan pemandangan ufuk timur seperti di pantai, tanpa halangan bangunan tinggi, pokok, bukit dan seumpamanya.  


Panduan Waktu Cerapan di Kuantan & Pekan

Bagi memastikan anda tidak terlepas fasa-fasa penting, sila rujuk jadual di bawah:

  • 7:16 Malam: Bulan terbit. Pada waktu ini, bulan masih rendah di ufuk dan agak sukar dicerap.
  • 7:23 Malam: Waktu Maghrib. Dibenarkan melaksanakan solat Gerhana bermula pada waktu ini. 
  • 7:33 Malam: Gerhana Maksimum. Inilah detik kemuncak di mana bulan akan kelihatan paling gelap/kemerahan pada altitud 3.6°. Bulan rendah, hanya berpotensi dilihat di tepi pantai belah timur. 
  • 8:02 Malam: Tamat fasa gerhana bulan penuh.
  • 9:17 Malam: Tamat fasa gerhana bulan separa. Waktu tamat solat gerhana. 
  • 10:23 Malam: Fenomena gerhana berakhir sepenuhnya (tamat fasa penumbra).

Solat Sunat Khusuf & Iftar Berjemaah

Memandangkan fenomena ini berlaku pada bulan Ramadan, ia memberi peluang kepada warga kampus untuk mendirikan solat sunat gerhana ketika sibuk menunaikan ibadah Ramadan. 

Solat sunat Khusuf boleh dilaksanakan, secara ideal, selepas waktu Maghrib pada jam 7:23 malam sehingga jam 9:17 malam bagi waktu Kuantan.

 

Peralatan Cerapan Yang Diperlukan
Fenomena gerhana bulan boleh dilihat tanpa menggunakan sebarang peralatan optikal. Pun demikian sekiranya pencerap ingin melihat permukaan bulan dengan terperinci, boleh gunakan binokular atau teleskop yang bersesuaian. 


Lokasi Cerapan di Kampus
Bagi warga UMPSA Gambang, kawasan sekitar Masjid UMPSA merupakan lokasi yang baik dengan arah azimut cerapan sekitar 83° hingga 85°, namun ketika itu bulan agak rendah, dan mungkin terhalang dengan kawasan hutan di belakang masjid. Manakala bagi warga UMPSA Pekan, kawasan Masjid Al-Jazari turut menawarkan pandangan yang strategik ke arah terbitnya bulan.


Pastikan anda mencari kawasan yang lapang dan tidak dihalang oleh bangunan tinggi di arah timur memandangkan kedudukan bulan yang agak rendah pada awal fasa totaliti. Lokasi terbaik ialah di tepi pantai (Pantai Timur). 


Ayuh kita hayati kebesaran pencipta melalui fenomena astronomi ini. Jangan lupa kongsikan gambar cerapan anda nanti.